Assalammualaikum, kalau tak jawab dosa, kalau jawab sayang ;D

Bahagian 2: Pengalaman mengerjakan umrah pada musim sejuk

 Assalamualaikum, kalau tak jawab dosa, kalau jawab sayang ♥

Jika bahagian 1 lebih kepada dokumentasi sebelum pendaftaran pakej umrah, bahagian 2 ini lebih kepada persiapan dan dokumentasi perjalanan ke luar negara. Sekiranya anda mahu baca bahagian 1, boleh tekan di bawah ni.

Bahagian 1: Pengalaman mengerjakan umrah pada musim sejuk

Sebelum pergi umrah, selain siapkan diri dengan buat solat sunat, baca al-Quran, zikir, jaga rasa marah dan lisan, itu ini, jangan sesekali lupa mantapkan fizikal. Nak buat umrah ni, banyak pakai tenaga terutamanya sepasang kaki.

Bagi bakal jemaah umrah yang tiada masa untuk bersenam dengan alasan tiada kemudahan bersenam, padang jauh dari rumah atau segan bersenam di sekitar kawasan perumahan, Iz ada satu cadangan untuk kalian. Sangat mudah. Tapi perlu jaga keimanan semasa melakukan teknik ini. Dah bersedia nak tahu apa cadangan Iz? 

Tawaf di pusat membeli-belah. Ya. Macam Aeon. Ada dua tingkat. Pergilah tawaf tiga pusingan. Latihan pantas ni. Sesuai untuk semua orang. Tapi hati-hati bila ternampak kedai yang buat jualan murah. Bahaya untuk dompet kalian. Seminggu sekali buat pun okey. Jangan cenggelat!

Iz tawaf dekat Lotus sekali saja dengan adik Iz. Selebihnya, Iz guna treadmill. Buat 3 km atau 30 minit. Iz sangat memastikan kesihatan Iz berada di tahap yang optimum dan Iz kena pastikan diri Iz mampu berjalan dan berdiri lebih lama daripada kebiasaan. Umrah kali ini dengan mak Iz yang dah dua kali masuk hospital. Jadi, keupayaan tubuh mak Iz tak sama macam mak-mak orang lain yang sihat tubuh badan. (Ni ada kejadian di Madinah. Akan buka mata dan hati.)

Iz kena kuat untuk bantu mak Iz. Teringat kisah Uwais al-Qarni yang gendong anak lembu untuk kuatkan tubuh dia sebelum bawa maknya pergi mengerjakan haji. Tiap kali berlari atas treadmill, Iz memang teringat kisah Uwais ni. Sangat memberi inspirasi. *treadmill secondhand. RM500. Adik Iz beli.

Sambil bersenam, berlatih sai, barangan kelengkapan untuk umrah boleh mula sediakan seawal dua bulan sebelum tarikh penerbangan. Tapi sebelum sentuh pasal barang-barang, Iz nak sentuh pasal visa umrah, suntikan umrah dan Nusuk.

Permohonan visa, ada dua jenis; visa umrah dan visa pelancong. Agensi Polka mula-mula kata umrah Iz sekeluarga ni guna visa pelancong. Hanya serah salinan maya passport dan gambar passport sahaja. Mereka uruskan yang selebihnya. Iz lihat banyak manfaat visa umrah berbanding visa pelancong dari segi kesihatan. Lagi-lagi pergi umrah dengan anggota keluarga yang masing-masing ada penyakit tersendiri. Sekiranya salah seorang terpaksa masuk hospital masa di Arab Saudi, sekurang-kurangnya, visa umrah yang disertakan sekali insurans, dapat tampung perbelanjaan bil hospital. Jika guna visa pelancong, kena dahulukan duit sendiri untuk pembayaran bil. Barulah boleh tuntut semula itu ini. Sediakan payung sebelum hujan.

Untuk mohon visa umrah;

  1. Aplikasi Saudi Visa Bio
  2. Alamat e-mel
  3. Dokumen passport asli
  4. Muka bebas kaca mata dan pelitup mulut (latar belakang kosong dan sekata)
  5. Cap sepuluh jari (latar belakang hitam)
Cara nak mohon visa umrah sangat mudah. Kalian boleh rujuk mana-mana video untuk daftar. Suka Iz ingatkan beberapa perkara sebelum atau semasa daftar visa, sila banyakkan bersabar. Cara nak mohon sangat mudah. Selalunya bakal jemaah tersangkut dekat imbasan cap jari. Garisan cap jari sukar dikesan dengan kamera telefon. Ada orang berkongsi di TikTok cara untuk mengatasi masalah garisan cap jari tak nampak dalam kamera. Lorekkan pensel 2B dekat kertas sehingga menjadi serbuk. Serbuk pensel tu kesatkan pada cap jari dah tampi lebihan serbuk pensel sebelum imbas guna aplikasi.

Itu masalah biasa. Iz pula mengalami masalah luar biasa. Langkah keempat; tangkap gambar muka bebas kaca mata dan pelitup mulut. Muka ayah Iz tak dapat kesan. Ah sudah. Segala latar belakang dalam rumah dah guna. Masih tak dapat. Katanya latar belakang bercorak. Tiga telefon sudah cuba. Ayah Iz yang ada telefon kamera canggih pun tak boleh kesan. Ayah Iz dah putus asa. Rasa macam bukan rezeki dia untuk pergi umrah. Iz cepat-cepat bagi tahu dekat staf Agensi Polka. Alhamdulillah, berjaya. Rupa-rupanya, muka ayah Iz ni boleh dibaca dengan kamera iPhone saja. Android dia tak nak. Yihh.

Bila dah selesai mohon dan terima e-mel yang mengatakan permohonan visa diterima, tangkap layar dah hantar salinan itu kepada staf Agensi Polka. Ini kalau kalian pergi dengan agensi pelancongan. Nombor visa mereka yang akan uruskan. Kita tunggu saja. Dah selesai mohon visa, mari kita ke bahagian kegemaran ramai.

Vaksin umrah. Ramai kan suka kena suntik. Kan? Tak? Eh? Tapi, perlu ke vaksin umrah ni? Untuk apa? Untuk perlindungan tambahan ketika berada di luar negara. Bayangkan umat Islam serata dunia berkumpul di Madinah dan Mekah. Ramai. Berbilang bangsa. Pasti jua berbilang penyakit. Ada penyakit yang tiada di Malaysia tapi kebarangkalian untuk dapat di luar negara sangat tinggi.

Lebih baik kita cegah sebelum terlambat. Wajib ke ambil vaksin umrah? Iz tak gemar guna perkataan wajib. Rasa macam arahan. Kalau tak ambil vaksin ni, potensi untuk jatuh sakit sangat tinggi. Haha. Cukuplah sekadar sedar diri. Anggota keluarga Iz yang nak pergi umrah ni masing-masing punya ketahanan terhadap penyakit sangat rendah; mudah kena penyakit. Maka, marilah kita ambil vaksin umrah atau nama sainsnya meningococcal vaccine

Harga vaksin ni berbeza mengikut klinik. Dekat klinik kerajaan tiada vaksin ni. Perlu dapatkan di klinik swasta. Iz sekeluarga pergi klinik di pekan. Pergi berjemaah ni dapat murahlah kut. Kawan Iz kata, harga vaksin dalam RM180 lebih. Ikut tempat juga.

Iz dapat harga vaksin umrah RM165 seorang. Sah sehingga tiga tahun. Lepas suntik, akan dapat buku kuning. Kalau kalian pernah terbaca atau terlihat mana-mana sumber, orang panggil kad vaksin umrah ni sebagai kad kuning. Dekat imigresen Arab Saudi, kadang ada pegawai minta kad kuning ni. Kadang tidak. 

Kad vaksin umrah

Kad vaksin umrah ni bergantung pada agensi. Terpulang kepada anda, bakal jemaah. Nak ambil, ambil. Tak nak ambil, tak perlu ambil. Iz nasihatkan untuk ambil. Kita tak tahu virus apa yang bakal sambut kita.   

Untuk pengetahuan kalian, jemaah yang bakal mengerjakan haji perlu dapatkan tiga macam suntikan. Salah satunya meningococcal vaccine. Lagi dua, Iz tak tahu. Haha. Tiga weh. Tiga!

Bila patut ambil suntikan umrah ni? Seeloknya bila ada kesedaran. Haha. Gurau-gurau. Kawan Iz kata, dua minggu sebelum pergi umrah. Kakak klinik pula kata, seeloknya sebulan awal. Iz sokong sebulan awal. Nak bagi masa vaksin tu berjalan dalam badan. Misal ada kesan sampingan, boleh rujuk klinik yang sama. Tarik kolar doktor tu tanya kenapa sejak saya ambil vaksin ni, saya begini begitu. Terkapai-kapai doktor tu kena terjah macam tu. Haha! Eh. Ni melawak ya. Jangan buat betul-betul.

Baiklah. Alang-alang cerita pasal kesihatan, di sini Iz mahu nyatakan bahawasanya Iz tak makan ubat tahan haid masa di Madinah atau sebelum terbang lagi. Pola haid Iz unik. Jadi, biarlah kekal unik. Jujur Iz risau sekiranya Iz makan ubat tahan haid, sekali turun haid. Termenung tengok kaabah dari jauh je mampu. Berihram dari sampai Mekah sampai balik Malaysia. Auch. Sedih sedikit.

Untuk pil tahan haid, Iz saran dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi. Jangan terus Google, 'Bila perlu makan ubat tahan period untuk umrah?' Jangan sesekali. Jangan cakap dekat video TikTok doktor ni, ahli farmasi ni, kata begitu begini mestilah boleh. Jangan!

Setiap wanita dalam dunia ni, kitaran haid berbeza-beza. Tak sama walaupun diri sendiri. Setiap bulan, berbeza. Kalau sama setiap kitaran, anda bertuah. Tanya terus doktor atau ahli farmasi dekat kedai farmasi secara berdepan. Jangan tanya Iz. Bukan bidang Iz. Jangan guna alasan, "S-Saya introvet." Yih.

Alang-alang masih lagi cerita pasal kesihatan, dah ambil vaksin umrah ni, tak perlulah beli ubat atau vitamin tambahan untuk umrah? Kan? Kalis sakit kan?

Nampak macam cerdik tapi tak. Dekat TikTok, ada ramai ahli farmasi dan jemaah yang berpengalaman kongsikan senarai ubat yang diperlukan sebagai langkah keselamatan. Iz amanahkan adik Iz untuk uruskan ubat-ubatan. 

Seingat Iz, staf Agensi Polka pernah beritahu perlu buat senarai ubat-ubatan. Iz buatlah. Mak Iz ada penyakit ini, ubatnya kena ambil ini. Adik Iz sakit ini. Ayah Iz sakit itu. Iz pula tukang buat senarai padahal semua ubat mereka bertiga yang punya. Kenapa Iz yang kena buat? Yihh.

Rasa macam kerja sekolah
Senarai ubat ni, gigih semacam buat ya. Sudahlah Iz tak suka bahasa Inggeris. Kena buat dalam bahasa Inggeris. Cari dekat Google senarai ubat travel semua apa entah, fungsi dia. Ada negara yang tak terima sesetengah ubat masuk ke dalam negara mereka. Kiranya ubat itu seperti mercun bola. Haha. Tak tak. Yihh. Banyak gurau Iz ni. Imigresen luar negara nak sahkan ubat yang kita bawa itu bukan ubat terlarang yang tidak digunakan dalam negara mereka. Lagi-lagi ubat terkawal macam ubat untuk keresahan dan lain-lain. 

Iz buat lengkap. Siap buka kotak ubat tu senaraikan bahan-bahan dalam ubat tu. Berapa peratus kuantiti itu ini. Siap bergambar macam gambar atas tu. Kalau dekat Google, ubat tu tiada gambarnya, Iz tangkap gambar. Sekali, dekat Imigresen Arab Saudi, tak minta. Haha. Haha. Alhamdulillah? Entahlah. Hati Iz sedikit terusik. Penat-penat berjaga malam siapkan senarai ubat, tak minta pula.

Jika kalian berhajat nak dapatkan senarai ubat untuk mengerjakan umrah, silakan Google sendiri. Haha. Mereka akan sarankan beli berpapan-papan ubat. Sejujurnya, ubat yang laku masa di Arab Saudi dalam keluarga Iz ni, Paracetamol (ubat tahan sakit/ demam). Dua orang tumbang di Madinah masa hari ketiga. Sejuk sampai demam. 

Iz beli ubat untuk diri Iz saja. Adik Iz beli ubat umrah katanya. Sekali dia beli ubat yang rasanya tak perlu. Haih. 

  1. Dua papan Paracetamol (jenama Uphamol dekat Watsons. Harga dalam RM2.00+ sepapan)
  2. Eno Halia (1 pek ada dua pek kecil)
  3. Salonpas (pek kecil)
  4. Pelekat luka (beli tapi lupa bawa masa umrah. Haha!)
  5. Ubat titis mata (melembapkan mata yang berhabuk)

Jangan berkecil hati bila ubat yang beli untuk umrah tak termakan di sana. Ubat-ubat tu akan makan di Malaysia. Balik saja umrah, dua hari kemudian, selesema, batuk, demam, sakit tekak. Jadi, berguna ya ubat-ubat tu. Haha.

Baiklah, yang terakhir. Nusuk. 

Mesti kalian tertanya-tanya, apakah ini Nusuk? Adakah visa atau apa benda? Asyik terdengar Nusuk, tapi apa dia?

Mari Iz ceritakan serba sedikit fahaman Iz tentang Nusuk. Sedia?

Baiklah, sesiapa yang datang ke Kota Madinah, mestilah ziarah nabi kesayangan semua di masjid Nabawi. Untung bagi lelaki sebab boleh masuk ke kawasan makam nabi tanpa masalah. Pastikan lelaki. Bila pintu melawat makam dibuka? Tidak tentu.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah radhiallahu anhu, dari Nabi shallallahu alaihi wa sallam, beliau bersabda:

مَا بَيْنَ بَيْتِى وَمِنْبَرِى رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ (رواه البخاري، رقم 1196 ومسلم، رقم 1391)

“Antara rumahku dan mimbarku terdapat taman di antara taman surga.”
(HR. Bukhari, no. 1196 dan Muslim, no. 1391)

Itulah Raudhah. Taman syurga. Syurga nyata di dunia. Tempat di mana doa dimakbulkan. 

Kalau kalian nak baca secara teliti tentang taman syurga ni, jemput baca di wordpress saudari ini. 

Bahagian-Bahagian Utama di Raudhah (Taman Syurga)

Lorekan biru cair kawasan perempuan

Dulu, nak masuk Raudhah ni, sangatlah payah. Taman syurga kut. Siapa saja tak nak masuk? Mengarutlah tak nak merasai taman syurga. Percaya tak dekat Madinah pun, pengawal pilih sekutu mereka? Set-set Arab saja mereka beri masuk.

Sebelum wujudkan aplikasi waima teknologi, nak masuk Raudhah gaya lama ni menggunakan konsep, 'siapa cepat, dia dapat'. Jemaah akan berkumpul di luar masjid. Kiranya, padat satu pagar, baru dilepaskan. Macam lepaskan biri-biri gayanya. Lebih menyedihkan, jemaah bertubuh Arab saja yang dibenarkan masuk ke dalam Raudhah. Yang rupa bukan Arab, tak dibenarkan masuk. Memang syurga untuk orang Arab saja. Yihh.

Sehingga terciptalah satu program yang membenarkan jemaah bukan Arab untuk tempah masuk ke dalam Raudhah. Eatamarna. Nama lamanya Eatamarna. Nama barunya Nusuk. Fungsi masih sama.

Untuk daftar Nusuk;

  1. Telefon sendiri (Seorang jemaah, satu telefon. Tak boleh kongsi)
  2. Alamat e-mel
  3. Nombor passport
  4. Nombor visa (pihak agensi berikan melalui mutawif)

Ya. Kena ada nombor visa baru boleh mohon Nusuk. Tak kisah visa umrah atau visa pelancong. Cara nak daftar Nusuk boleh cari di mana-mana. Dekat sini Iz nak beritahu, masa mohon Nusuk, kalian akan terima dua e-mel.

E-mel pertama: Kod pengaktifan Nusuk atau Nusuk-Verification Code

E-mel kedua: Kata laluan sekali atau Eatamarna-Verification Code

Ikut saja langkah-langkah daftar dan aktifkan akaun Nusuk. Nama kalian bakal ditayangkan dalam huruf jawi. Ada sesetengah telefon tayang nama dalam huruf rumi. Bergantung. 

Selesai ada akaun Nusuk, mohon beri perhatian bila slot Raudhah dibuka. Jemaah lelaki dan perempuan diasingkan. Jangan mimpi bercampur. Grup umrah Iz perlu tempah slot jam 11.00 malam. Entah kenapa agensi suka cari waktu puncak. Haha. 

Bila kena tempah slot? Iz tak pasti. Ada yang kata seminggu sebelum nak masuk Raudhah, kena tempah. Bergantung pada rezeki juga. 

30 minit saja waktu ziarah

Masa imbas kod Nusuk ni, pastikan lingkaran kuning tu berkelip. Kalau tak berkelip, pengawal halau. Takut itu sekadar tangkap layar permit entah siapa dan salahguna. Habis.

Dulu, jemaah boleh ziarah Raudhah sampai tiga kali. Seronok weh. Guna permit agensi, mu.. mu apa entah dan Nusuk. Tahun ini, kerajaan Arab Saudi menetapkan hanya sekali saja boleh masuk Raudhah dengan menggunakan Nusuk dalam satu tahun. Nusuk sahaja. Yang lagi dua tu, tak boleh dah.

Kiranya, Iz dah masuk Raudhah tahun ni, misal ada rezeki pergi umrah tahun ni, Iz tak boleh masuk dah Raudhah. Kena tunggu giliran tahun depan. 

Macam biasa, ada kisah tentang Raudhah ni. Nanti Iz kongsikan dalam siaran akan datang. 

Dah pastikan fizikal mantap, visa umrah atau pelancong okey, vaksin umrah ikut kalianlah nak ambil atau tak, pil tahan haid bagi perempuan (ya, memang lelaki datang haid sekali), senarai ubat yang diperlukan, dah tahu apa itu Raudhah dan sudah tempah slot ziarah guna Nusuk, persiapan kalian sudah capai 50%! Yeay!

Mana-mana fakta atau maklumat yang tak tepat atau mengarut, komen saja. Iz betulkan pantas-pantas. 

Weh. Panjang sungguh siaran kali ni. Belum masuk pakaian! Haha! Untuk bahagian 3, Iz fokus kepada barang dan keperluan. Rasanya panjang macam ini juga. Rasanya. Hihi.

Bahagian 3: Persediaan beg sandang, beg kabin, beg kargo, senarai pakaian, senarai barang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan