Assalammualaikum, kalau tak jawab dosa, kalau jawab sayang ;D

Bahagian 4: Pengalaman mengerjakan umrah pada musim sejuk

Assalamualaikum, kalau tak jawab dosa, kalau jawab sayang ♥

Dah baca bahagian 3? Belum? 

Bahagian 3: Persediaan beg sandang, beg kabin, beg kargo, senarai pakaian, senarai barang

Tibalah siaran yang ditunggu-tunggu. Kisah Iz dan umrah. Iz tekad untuk abadikan pengalaman umrah di blog supaya kawan-kawan Iz dan bakal jemaah dapat membayangkan suasana umrah itu macam mana rupa dia. Lagi-lagi dari sudut pandang seorang Iz. Siaran kali ni, fokus pada Iz saja. Iz watak utama dalam travelog ni. Haha! Merasalah juga jadi watak utama.

Dua malam sebelum berangkat, Iz ada buat sedikit ulang kaji umrah. Ulang kaji dengan anggota keluarga yang lain. Refresh dan recap. Macam nak jawab peperiksaan pula gayanya. Pergerakan dari rumah ke KLIA2, itu ini. Untuk Madinah, kena belajar sendiri. Mutawif dan kursus langsung tak sentuh pasal Raudhah. Semuanya fokus umrah semata. Ni kalau Iz buat aduan bertulis, risau jadi novel. Haha. Tapi, agensi manalah ambil semua benda ni. Bagi mereka, jemaah kena bersyukur bla bla bla. Neh.

Iz okey tak ni? Tak. Haha. Dua malam sebelum bertolak tu, Iz ada tanya dekat grup pasal ubat terkawal macam ubat darah tinggi semua tu. Perlu simpan ubat terkawal dekat beg kabin atau beg kargo. Soalan Iz ringkas saja. Mutawif sendiri yang kata kalau ada soalan, tanya dekat grup. Iz tanyalah. Mutawifah atau kita gelarkan dia sebagai Nek Cik (Iz tak rela panggil dia mutawifah waima hajjah. Tidak), palaunya soalan Iz tu. Sekali, dia beri jawapan yang tak kena dengan soalan selepas beberapa jam. Dekat sini, Iz dah rasa Nek Cik ni memang sesuatu.

Iz berdoa sangat jemaah umrah grup Iz ni tak cipta macam ragam. Nek Cik dah buat ragam. Iz kalau orang buat ragam yang menyeksa hati Iz, Iz blah aje. Iz tak nak gaduh. Kita nak baik-baik saja sepanjang di Arab Saudi. Tinggalkan segala kesetanan dalam diri di Malaysia buat sementara waktu.

24 jam sebelum berangkat, mak Iz dan adik Iz jumpa kawan-kawan mereka sebelum berangkat. Iz jumpa kawan tak? Tak. Cukup di WhatsApp. Ada sekali jumpa kawan Iz di Bangi. Dia yang berikan hadiah beg galas dan sedikit tajaan buat mak Iz dan ayah Iz di Mekah nanti. Taja naik skuter gais. Belum rezeki ayah Iz pergi umrah. Maka, Iz yang menjadi pengemudi untuk mak Iz. (Iz mana ada lesen motor. Gilo amek koroje bawa skuter)

Mak Iz tanya Iz cukup ke bawa duit riyal? Iz kata cukup. Kalau tak cukup, boleh saja keluarkan dekat mesin ATM. Nanti bank kenakan caj transaksi. Mak Iz setuju. Tapi, memikirkan kemalasan Iz mencari mesin ATM, Iz cakap dekat mak, tukarkan duit ringgit kepada duit riyal. Iz ada tolong tukarkan hari tu dekat pengurup wang Lotus Rawang. RM3008 dapat 2350 Riyal. 1 Riyal jual dengan harga RM1.28. Iz Google masa ni, 1 Riyal sama dengan RM1.26. Dekat sini aje yang Iz nampak murah berbanding tempat lain yang jual 1 Riyal pada harga RM1.35. Nak tukar duit, kena bawa kad pengenalan untuk perekodan pengurup wang. 

Kurang 12 jam sebelum berangkat. Beg-beg semua dah diperiksa. Iz paksa mak Iz tidur lepas zohor. Daftar masuk beg pukul 1 pagi. Kapal terbang berlepas pukul 5 pagi. Perjalanan ke Jeddah makan masa 9 jam. Sampai di Jeddah nanti, naik bas ke Madinah. Makan masa 5 jam. Memang meletihkan. Tapi, ada yang lagi letih. Apa dia?

Abang Iz kata bergerak ke KLIA2 pukul 6 petang. Berkumpul di Masjid KLIA untuk makan. Nenek Iz ada kirim bekal dekat pak cik Iz. Sebelum masuk asar, Iz dah siap segala pakaian untuk berangkat. Masuk saja waktu asar, solat asar dan solat sunat musafir. Selesai semuanya, Iz keluar bilik. Tengok mak Iz baru selesai layan kawan datang ziarah sebelum berangkat. Mak Iz terus bersiap lepas tetamu balik. Sengajalah Iz masuk bilik adik Iz. Nak tengok dia pakai baju apa untuk berangkat ni. Buka saja pintu, tengok dia tidur atas katil. Lena tidur. Weh. Timbul urat marah Iz ni weh! 

Kalau dekat kampung ada mak cik yang suka berleter mengarah itu ini. Iz sesuai watak tu. Kata gerak pukul 6 petang. Ini semua bersantai lepak santai memantai. Kita ni nak pergi umrah tau. Bukan balik kampung dekat Negeri Sembilan tu. Ya Allah. Ini imbangan duga syarikat mana ni? Menduga sungguh! 

Tup, tap, tup, tap.

Sampai di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA jam 8 malam. Solat dan makan. Nek Cik pesan berkumpul di lokasi X jam 9 malam. Berubah-ubah tempat. Benda boleh susah, buat apa senang? Tapi, daftar masuk beg pukul 1 pagi. Noh. Kena sidai gais. Kata Nek Cik, takut jemaah tertinggal kapal terbang. Alasan dia Iz bagi negatif empat puluh.

10.45 malam edar penanda beg dan kad nama. Nama mak Iz ada sama dengan seorang jemaah. Mak Iz minta kad nama dia lepas passport dah serah. Tapi Nek Cik bertindak angkat sebelah tangan dan hala tepat ke muka mak Iz. Sibuk mencari kad nama jemaah lain. Iz tengok tindakan Nek Cik tu, kurang ajar sungguh. Tak beradab. Boleh kut cakap, "Tunggu sekejap ya." Tapi Nek Cik memilih untuk menjadi watak penjahat dalam travelog kali ni. Iz suruh mak Iz tunggu sekejap. Noh! Sekali Nek Cik lupa terus. Nampak sangat berpura-pura terlupa dengan wajah tidak bersalah. 

Panas hati dengan perangai Nek Cik. Bau perangai dia tu ada sedikit bau tanah. Sambil gantung penanda beg dekat empat-empat beg, naluri Iz menjerit. Ada seseorang sedang perhatikan Iz. Takkan hantu kut? Perlahan-lahan Iz dongak. Ada seorang lelaki. Dia ada mata, telinga dan rambut sedang pandang Iz. Lelaki itu rasanya awal 20-an. Iz rasa dia ni hantar mak dia pergi umrah. Bagus anak muda ni.

Maka, bertapalah kami nak tunggu kaunter daftar masuk beg berkumpulan dibuka. Beg-beg dah bersusun dekat kaunter sejam awal. Untuk pendaftaran masuk secara berkumpulan ni, banyak kaunter dibuka. Siapa daftar awal, dapat tempat duduk belah belakang-belakang dan sebaliknya. Kata Tok Cik la. (Tok Cik ni mutawif. Bukan nama sebenar)

Tok Cik kata dekat kami semua. Nanti dekat lapangan terbang di Jeddah, beli nombor Arab Saudi. Iz malas nak beli. Iz dah aktifkan DiGi 30-Day Unlimited Roaming Internet. RM98.00 untuk sebulan. Pergi 12 hari saja. Nanti tengoklah macam mana. Duit salam kaut boleh tahan banyak. Haha! 

Macam ini rasanya ada tiket penerbangan

Dah dapat tiket bolehlah pergi ke balai pelepasan dengan beg kabin dan beg sandang. Bila daftar dengan mana-mana agensi pelancongan, dapat beg serupa saja kan? Inilah sisi kebaikan di lapangan terbang. Petugas yang jaga pintu depan dengan senang hati lepaskan kalian masuk ke dalam lepas tengok beg kabin dan pas masuk. Selalunya pesawat Air Asia akan timbang dulu sebelum masuk. Yang ini macam hari raya dibuatnya. Silakan lalu, sila.

Penerbangan pukul 5.00 pagi. Daftar masuk 1.00 pagi. Masa berlepas pukul 4.20 pagi. Lagi tiga ke empat jam nak buat apa? Iz sedikit risau tak lepas naik kapal terbang. Risau nama disenaraihitamkan, itu ini. Macam-macam andaian. Siap semak nombor kad pengenalan dekat SSPI (boleh tekan untuk semak). Status tiada halangan. Insya-Allah.

Lepas lalu pagar pertama yang dijaga oleh dua petugas Air Asia, rata-rata jemaah terpinga-pinga. Tak tahu nak ke mana. Siapakah mereka. Kenapa ada dekat sini. Termasuklah Iz. Maklumlah, Tok Cik dan Nek Cik tunggu yang terakhir. Maka, berdirinya kami menunggu arahan. Grup jemaah yang sama Agensi Polka dah gerak awal-awal lagi. Entah apa dikejarkan tak tahu. Syukur ada seorang pegawai wanita cantik dan manis ni bimbing kami yang pertama kali masuk balai pelepasan.

Kena imbas passport rupa-rupanya. Oh. Imbas dekat mesin macam kita naik MRT tu. Letak kad TnG, pagar dibuka. Yang ini ada dua pagar dalam satu lorong. Pagar pertama, imbas passport. Kena letak elok-elok untuk mesin baca. Tunggu dalam beberapa saat barulah pagar pertama dibuka. Masuk dengan beg kabin sekali. Jangan tinggal pula. Kemudian, kena imbas wajah kalian yang jelitawan dan tampanwan dekat tiang kamera belah kanan. Konsep sama macam tangkap gambar untuk buat passport. Inilah fungsinya. Sekiranya muka tak dapat imbas, gunakan cap jari. Selesai imbasan, pagar kedua terbuka dan boleh terus berjalan ke pagar P6.

Iz teringat video di TikTok. Kata seorang manusia ni, pagar KLIA2 sangatlah jauh. Jauh dia tu macam dari KTM Putra ke PWTC (Iz bayangkan jarak perjalanan pesta buku aje la. Haha) Ulang alik. Bukan sehala ya. Siap turun tangga bergerak lagi. Carilah lorong P dan pagar 6. Seingat Iz dari pagar yang pegawai periksa beg sampai ke sekatan pertama dalam 30 minit lebih. Iz berjalan dengan mak Iz. Adik Iz dia gerak awal. Tahap keyakinan dia tu rasanya tahap lima. Acik mula-mula jalan laju tapi makin lama makin perlahan bila terasa jauhnya.

Sampailah dekat kawasan pemeriksaan kawalan keselamatan. Pengawal yang bertugas kata pintu belum buka lagi. Pukul 3.30 pagi baru buka. Nek Cik dari jauh sudah menjerit suruh masuk terus ke pagar 6. Jauh lagi katanya. Dialah yang turun nak letak beg atas mesin pengimbas. Iz tengok muka pengawal ketat sungguh. Jam baru pukul 2.00 pagi. Jangan cakap nak bergaduh dekat sini pula. Akhirnya, Nek Cik mengalah tapi dia ajak jemaah yang rapat dengan dia duduk berbaris. Iz dan anggota keluarga menunggu di atas. Duduk ramai-ramai. Ramai yang tidur. Kesian dekat orang berumur. Tenaga habis untuk menunggu saja. 

Iz suruh mak Iz baring dan tidur sekejap. Mata Iz merah dah. Penat. Penat fizikal Iz tak kisah sangat. Ini penat mental dengan Nek Cik yang baiknya nga ada obat. Acik pun tidur sekejap. Adik Iz tak suruh tidur pun dah tidur dah dia. Dasar tembikai. 

Pagar dah dibuka. Ramai-ramai serbu kawasan pemeriksaan kawalan keselamatan. Iz biarkan jemaah agensi dan negara lain serbu dulu. Bagi mak Iz bertenang. Kami santai ya. Pergi tandas dan surau ambil wuduk. Bila dah lengang sedikit, Nek Cik gesa suruh cepat. Dia boleh kata pergi tandas lepas semak beg semua. Hati Iz sangatlah berat nak dengar arahan dia. Sekali lepas buat pemeriksaan beg dan badan, ramai beratur pergi tandas. Sudahlah beratur tu mahu 30 minit lebih. Air Asia X ni kan besar.

Barisan Iz ni ada saja masalah. Orang luar negara sibuk bawa barang terlarang. Jemaah grup Iz pula bawa sebotol spray F** (Benda ni boikot. Malas taip) dan gunting letak di beg kabin. Iz geleng saja. Dua objek kena ambil. Yang F** tu mana ada 100ml. 370ml gais. Acik pun kena rampas losyen Mustajab. Aduhai. Kenapa tak tanya Iz dulu. Sedih acik.

Selesai pemeriksaan, dekat sini kalian boleh isi air botol untuk bawa masuk ke dalam kapal terbang. Air panas ada juga dekat tepi tandas. Percuma. Adik Iz nak isi air dalam botol sembur untuk wuduk. Pergilah dia ke tandas. Mak Iz nak tunggu. Aih. Mak Iz nak tunggu adik Iz? Iz minta acik pergi dulu dengan mak Iz. Mengarutlah suruh tunggu. Sambil tu, Iz isi air dalam botol kosong yang Iz bawa. Kawan Iz pesan, air yang pihak penerbangan sediakan sedikit kuantitinya. Keluar saja adik Iz, kita orang terus pergi ke pagar 6. 

Ya. Beratur lagi. Entah berapa banyak barisan dibina umpama kubu pertahanan. Hairan Iz barisan apa pula ni? Lah. Imbas pas masuk. Tapi, seorang saja yang jaga. Apakah? Kekelakaran apakah ini? Tak jumpa kelakarnya dekat mana. Iz suruh adik Iz berdoa supaya ada seorang petugas datang imbas tiket. Makbul doanya lepas lima minit. Lepas imbas tiket, Iz ingat mak Iz dan acik dah masuk kapal terbang, sekali tengah duduk dekat kerusi tunggu Iz dan adik Iz. Ya Allah omak den. Bega!

Jam dah pukul 5.00 pagi. Beratur lagi nak masuk kapal terbang. Iz dapat kerusi tepi tingkap! Ya Allah! Seronoknya! Tapi tak seronok bila sebelah Iz ni, adik Iz. Dan kerusi awal pula ada jemaah perempuan. Iz kena tukar tempat dengan adik Iz. Adik Iz duduk tepi tingkap, Iz tengah-tengah, jemaah perempuan pula di tepi. Apa lagi, adik Iz pun memberlagaki dengan Iz. Dia tak sedar itu tempat Iz. Kalau bukan tempat Iz, entah dapat ke tak adik Iz merasa duduk tepi tingkap.

X x Air Asia
Ramai yang kata, ruang kaki Air Asia X ini sangat tak selesa. Ya. Iz setuju. Lebih mengharukan keadaan, jemaah sebelah Iz ni badannya besar. Iz bukan nak sindir tubuh apa. Ini kenyataan. Adik Iz pula malas diet. Maka, Iz terhimpit di tengah-tengah. Syukur Iz ni tubuh kecil. Cuma rusuk kirilah tak selamat kena siku dengan jemaah sebelah kiri Iz ni. Kan tempat rehat tangan kecil. Masak mat. 9 jam rusuk kena siku. Sakit? Sakit tu, sakit. Iz bersyukur Iz yang duduk tengah-tengah. Tak dapat bayangkan kalau mak Iz yang duduk tempat Iz. Badan mak Iz pula sedikit berisi. Mesti tak selesa. Biarlah Iz terseksa asalkan mak Iz selesa.

Beg kabin letak di atas kepala. Bukan kau orang junjung. Bukan bukan! Letak dekat kabin atas kepala. Pramugari akan tolong kalau tak sampai. Iz suruh adik Iz letakkan. Nampak dia berguna sikit. Haha! Beg sandang pula letak di bawah kerusi depan kau orang atau letak di kaki. Ikut mana selesa. Iz kekal pakai jaket labuh. Sejuk sikit.

5.30 pagi barulah kapal terbang berlepas. Macam mana rasa bila kapal terbang berlepas? Mula-mula rasa mengantuk sebab tak cukup tidur. Sepatutnya pukul 5.00 berlepas tapi lewat beberapa minit ini membuatkan rasa teruja semakin menipis. Kapten bawa burung besi ni berjalan-jalan. 10 ke 15 minit macam tu. Bila kapten suruh anak kapal ambil tempat, barulah terasa burung besi ni sebenarnya kapal terbang. Kipas kapal terbang bingit sungguh. Rupa-rupanya barisan tempat duduk Iz betul-betul nampak sayap kapal terbang.

Membelah awan
Laju kapten bawa kapal terbang sebelum naik ke langit. Terasa macam naik roller-coster. Atau nak rasa darat, macam bawa kereta pada kelajuan 280km/j ke atas. Memang tersandar sungguh dekat kerusi. Lagi-lagi masa kapal terbang mendongak naik ke langit. Masa tu la terimbau segala dosa pahala, hutang itu ini. Mak Iz mesti beristigfar panjang bila berlepas. Iz dengan adik Iz pula teruja. Rasa nak ulang lagi. Haha!

Tekanan udara bila naik akan mengganggu pendengaran. Adik Iz adu telinga tak dengar. Iz suruh dia telan air liur. Alhamdulillah, adik Iz tak pekak lama. Nampak tak kakak dia ni baik orangnya? Mana dia nampak. Dia rabun.

Iz dah ambil wuduk siap-siap sebelum pemeriksaan. Solat subuh di langit. Tapi bila masuk waktu subuh? Menuju ke barat. Tak ikut waktu Malaysia dah. Baru Iz tahu, waktu subuh di langit dalam kapal terbang yang berlepas sebelum subuh ni, waktu subuh masuk pukul 7.00 hingga 9.00 pagi. Iz tak ingat waktu tepat. Dalam lingkungan itulah waktu subuh.

Sepatutnya lepas kapal terbang dah berada di langit, makanan pertama akan dihidangkan. Tak sangka awal-awal perjalanan Allah bagi kejutan. Tiga kali bertembung dengan awan yang akan petir. Cahaya kilat tu boleh nampak dari tempat duduk walaupun awan tu jauh. Cuaca sedikit buruk. Kapal terbang sedikit terhuyung-hayang. Risau terhempas sebab cuaca buruk. Tapi Iz tak risau. Iz percaya Allah beri izin untuk kami semua tiba dengan selamat. Kami semua kan, tetamu yang Allah jemput.

Cuaca sedikit baik, barulah kami dihidangkan makanan. Sebelum makanan pertama diedar, pramugari akan minta pas masuk untuk rekod. Perut Iz sangat lapar. Kali terakhir makan masa di masjid KLIA tu. Rasa kurus sikit Iz mas ni. Haha! (Baca boleh, percaya jangan)

Nasi lemak panas dan sebotol air
Inilah makanan pertama Iz dalam kapal terbang selain gula-gula. Nasi Lemak Pak Naseer ni sedap. Terasa lemaknya. Sambal dia, Iz boleh makan. Alhamdulillah, kenyang. Nak makan dalam keadaan sempit ni, Iz terpaksa bongkok ke depan untuk suap. Tangan kiri Iz dah kena tahan. Syukur ada sudu. 

Nak membaca dalam keadaan yang sempit, sangat mustahil bagi Iz. Lebih baik Iz rehatkan mata. Kumpul semula tenaga. Pramugari jual minuman panas dan sejuk secara tiba-tiba. Adik Iz apa lagi, jadi antara pembeli. Dia beli air teh tarik panas. Harga RM10. Teh tarik segara dituang dengan air panas dalam cawan kertas. Bolehlah buat rasa-rasa.

Sedap dik? 
Muka adik Iz nampak pucat. Iz rasa dahi dia. Sedikit panas. Iz pantas bagi ubat paracetamol dua biji dekat adik Iz. Nasi lemak tadi tak habis makan. Mungkin sambal nasi lemak ada belacan. Adik Iz ada alahan pula. 

Jam berganti jam, tidur ayam-ayam, sudah tiba makanan kedua untuk dihidangkan. Cuma teka apakah menu makanan kedua kali ini? Ya. Tepat sekali. Nasi .... Jap. Iz lupa nama nasi ni.

Lulus
Nasi Beriani Ayam Bukhara. Sedap. Cukup rencah. Iz nak habiskan tapi tengok adik Iz berselera makan, Iz terbantut. Nasi lemak tadi dia tak habis makan. Mesti lapar lagi. Iz makan separuh dan sengaja tak habis. Tolak bekas nasi dekat adik Iz suruh habiskan. Dia tak tanya tak apa ke apa-apa ke apa, terus ngap aje weh. Dasar pencinta makanan!

Seingat Iz, ustaz kata bila dah makan makanan kedua, tak lama lagi nak masuk Arab Saudi. Rupa-rupanya, lagi sejam lebih baru sampai. Mak Iz dah penat duduk. Acik masih santai. Masa adik Iz pergi tandaslah baru selesa Iz nak renggangkan tangan. Kan rusuk kiri Iz kena siku. Sempat Iz tangkap gambar.

Kerajaan Arab Saudi
Pertama kali melihat pemandangan seperti ini. Memukau dalam keanehan. Tiba-tiba, kapten buat pengumuman. Tak lama lagi sampai. Wah! Apa yang Iz buat bila kapal terbang nak mendarat? Ha. Tunggu.

Iz akan sambung dalam siaran seterusnya. Panjang sangat ni. Haha! Terima kasih sudi baca! 

Bahagian 5: Passport dicap, imbas beg Imigresen Arab Saudi, kad sim Arab Saudi, pemandangan, RnR, hotel

Tiada ulasan:

Catat Ulasan