Assalammualaikum, kalau tak jawab dosa, kalau jawab sayang ;D

Bahagian 3: Pengalaman mengerjakan umrah pada musim sejuk

Assalamualaikum, kalau tak jawab dosa, kalau jawab sayang ♥

Untuk makluman kalian, 

Bahagian 1: Persediaan sebelum daftar pakej umrah + passport

Bahagian 2: Persediaan fizikal, visa umrah, vaksin umrah, pil tahan haid, senarai ubat, Nusuk

Jika ada antara kalian belum baca dua bahagia yang Iz nyatakan di atas, jemputlah baca. Tak ada peperiksaan di hujung siaran. Jangan risau.

Baiklah. Bahagian 3 ni Iz akan fokus kepada persiapan barangan. Dari sebesar-besar barang ke kecil-kecil barang. Insya-Allah terperinci. Ini berdasarkan pengalaman Iz sepanjang mengerjakan umrah pada musim sejuk. Jadi, sekiranya ada bakal jemaah yang akan pergi pada musim panas, boleh tukar mana yang perlu. 

Setiap jemaah yang berdaftar dengan mana-mana agensi umrah akan dibekalkan tiga beg. Jangan tanya Iz saiz beg-beg tu. Haha. Sebelum susun-susun barang, mari Iz kenalkan kepada kalian tiga jenis beg yang bakal kalian heret. 

Beg 1: Beg sandang

Beg 2: Beg kabin 

Bag 3: Beg kargo 

Ketiga-tiga beg ni, ada syarat yang tersendiri. Penerbangan umrah pertama kali ini, Iz naik Air Asia X. Lain penerbangan, lain syarat berat beg. Maka, Iz akan fokus untuk penerbangan menggunakan Air Asia X sahaja. Alang-alang tu, Iz senaraikan apa yang Iz bubuh dalam setiap beg. Pakej yang Iz daftar ni 12 hari. Sehari perjalanan pergi dari Malaysia ke Arab Saudi, 10 hari di Arab Saudi dan perjalanan pulang dari Arab Saudi ke Malaysia. Jumlahnya 12 hari.

Untuk beg sandang, Iz letak:

  1. Passport (Lipat salinan cetakan visa umrah ngam-ngam dalam passport)
  2. Kad vaksin/kuning
  3. Powerbank 10,000 mAh (Mesti tak lebih daripada 20,000 mAh)
  4. Beg dompet (Duit riyal dan duit ringgit)
  5. Buku panduan umrah (Agensi bekal atau beli sendiri)
  6. Buku doa tulisan sendiri
  7. Pen hitam (Dakwat kering)
  8. Gula-gula cloud 9 lemon iced tea (Buat hilang habitat kebosanan. Beli di Eco Shop)
  9. Kabel USB Type-C 
  10. Botol kosong (Lepas pemeriksaan kawalan keselamatan, boleh isi air sebelum masuk pesawat)
  11. Earphone (Langsung tak pakai sepanjang perjalanan ke Madinah)
  12. Sepapan ubat paracetamol 
  13. Inhaler cengkih (Hidung Iz sensitif terhadap bau-bauan)
  14. Tasbih digital
  15. Tisu poket (Royal Gold, 50 helai, 3 lapis)
  16. Satu pek pelitup muka hijab (Iz beli yang lipatan kat tengah. Bukan yang medical facemask)
  17. Kaca mata hitam (Menjaga silau mata)
  18. Pantyliner x 3 (Tukar tiap kali singgah tempat sebelum solat)
  19. Cosmoderm HydraSoothe Face Mist 50ml (Pengganti pelembap muka)
  20. Oil Control Film (Malas cuci muka)
  21. Pelembap bibir mesra ihram
  22. Telefon pintar (Iz bawa dua unit. Satu untuk WhatsApp. Satu lagi untuk rakam memori)

Nampak macam banyak. Semua barang di atas kecil-kecil sahaja. Muat dalam beg sandang yang saiz kecil. Kalau boleh masukkan tikar sejadah, lama dah Iz masukkan. Tapi kecil sekadar cukup untuk masuk ke dalam pesawat. Iz selit juga botol spray wuduk tapi tak guna pun. Iz guna adik punya. Haha.

al-Quran? Iz tak bawa? Tak. Iz guna al-Quran digital. Boleh muat turun dekat Google Play. Al-Qur'an Melayu. Mungkin, jemaah lain tak bawa sebab dekat Madinah dan Mekah sana, banyak al-Quran disediakan. Iz tak bawa sebab risau terbawa masuk sekali al-Quran masa masuk tandas. Rasa kurang ajar. 

Untuk beg kabin Air Asia X, boleh bawa dua beg kabin tetapi mesti tak lebih dari 7kg kedua-duanya. Boleh Google untuk maklumat lanjut.

Apa yang pasti, beg kabin tak boleh bawa cecair, gel dan aerosol lebih daripada 100ml dan alat tajam. Kalau lebih, masukkan dalam beg kargo. Barang-barang yang tak pasti, masuk saja beg kargo. Jangan bawa dadah dan durian sudah.

Apa Iz bawa dalam beg kabin?

  1. Mi segera dalam cawan x 6 (Iz dan adik Iz punya)
  2. Makanan ringan untuk sabil (Rokka dan Choki-choki)
  3. Minuman segera (Aik Cheong Cappuccino dan jenama apa entah matcha latte beli di Eco Shop) 
  4. Beg galas banyak poket - hadiah hari jadi daripada kawan Iz ♥ (Sepasang telekung, tikar sejadah nipis, stoking, plastik, beberapa pantyliner dan pad. Tak galas masa check-in, malas
  5. Selipar (Mudah pergerakan ke masjid katanya tapi jadi selipar bilik air. Haha)

Tak banyak barang dalam beg kabin. Makanan ringan tu dah separuh beg kabin. Balik Mekah, beg Iz jadi mangsa sebab ada banyak ruang kekosongan seperti kosongnya hati Iz. Tsk.

Seterusnya!

Untuk beg kargo yang bakal ditelan oleh perut pesawat Air Asia X, beratnya mesti bawah 20kg. Penerbangan lain berat maksima 23kg. Bila tahu berat beg kargo untuk Air Asia X hanya dibenarkan 20kg, Iz rasa macam kelakar. Tak apa. Kita cuba.

Beg kargo yang agensi bagi ni sangatlah berat. Tak letak barang apa lagi, berat. Rasa beratnya dalam 2kg ke bawah. Sama macam beg kabin. Mungkin guna fabrik yang memberatkan lagi beg. Tak pasal-pasal jemaah kena kurangkan barang keperluan sebab beg berat dan saiz begnya sangat tak ramah mesra. Dasar lautan. 

Iz tengok senarai pakaian yang diperlukan untuk buat umrah dan di Madinah. Ada yang kata cukup saja bawa dua helai kepala telekung. Iz jem. Jadi, senarai pakaian dan kelengkapan yang Iz kongsikan ni berdasarkan pengalaman Iz dan kemalasan Iz.

Senarai pakaian untuk 9 hari dan umrah serta kegunaannya.

  1. Jubah x 4 helai (Material ringan dan warna gelap. Lebih efisien jubah berpoket)
  2. Jubah berseluar x sepasang (Untuk ziarah di luar Madinah. Iz lebih rela pakai jubah saja)
  3. Baju tidur x 2 pasang (Sepasang di Madinah dan sebaliknya. Ya. Tidur seminggu tu pakai baju tidur yang sama)
  4. T-shirt dan seluar biasa x sepasang (Balik dari masjid boleh bersantai atas katil)
  5. Inner lengan panjang x 4 helai (Dah pakai handsock takkan inner lengan panjang? Dah ini je inner yang Iz ada. Lagipun, ini gaya kebiasaan Iz. Lain orang, lain gaya)
  6. Sarung lengan hitam x 3 pasang (Iz beli yang pendek. Tutup separuh dari siku. Kan inner lengan panjang)
  7. Stoking hitam panjang dan tebal x 6 pasang (Bawa lebih) 
  8. Seluar legging sangkut tumit x 3 pasang (Pakai di Madinah. Bila pakai ni, tak terasa stoking pendek. Iz insecure. Haha!)
  9. Seluar jubah putih x 1 helai (Iz beli seluar jubah lelaki. Tak ada renda-renda. RM19.90 sehelai kat Mydin. Kalau yang perempuan punya, mahal. RM39 tak silap)
  10. Pakaian dalam bawa 8 set ke atas
  11. Anak tudung x 5 helai
  12. Kepala telekung x 3 helai (Telekung berkain dalam beg kabin)
  13. Telekung mini berpoket hitam x sehelai (Sangat sesuai bagi Iz yang rendah orangnya)
  14. Tudung sarung berdagu hitam x 2 helai (Boleh bawa solat terus, dah tutup dagu)
  15. Tudung bawal bidang 48 ke atas x 3 helai (Iz bawal lover)
  16. Tuala mandi ringan x sehelai (Iz sarankan fabrik microfibre. Ringan dan tak makan ruang)
  17. Jaket labuh yang nipis/kardigan lengan panjang x sehelai (Iz beli yang tak tebal sangat sebab dah pakai inner lengan panjang dan handsock) 

Pakaian khas untuk umrah pertama

  1. Jubah putih (Lebih seronok berpoket. Iz pocket lover. Ahaks!)
  2. Sarung lengan putih (Masa lambai arah Hajar Aswad, aurat bakal terdedah)
  3. Inner lengan panjang putih 
  4. Seluar jubah putih (Iz beli 2. Satu tuk umrah, satu tuk hari esok)
  5. Anak tudung putih
  6. Stoking hitam panjang dan tebal
  7. Kepala telekung putih
  8. Kasut tawaf bertapak (Kalau saiz kaki 37-38 dan kembang, beli 39-40. Selesa sikit)
  9. Tudung sarung putih berdagu (Untuk perjalanan dari Madinah ke Mekah. Sampai hotel, tukar kepada kepala telekung)
  10. Satu set pakaian dalam  

Kenapa Iz pakai legging? Kenapa tak pakai seluar jubah dekat Madinah? Beraninya!

Bagi Iz, bila dah pakai jubah dan sarung jaket labuh, tak terasa diperhatikan. Lagi-lagi Iz hanya duduk di kawasan solat perempuan sahaja, di Madinah. Tak solat di kawasan terbuka di luar kawasan perempuan. Lagipun, jubah Iz hitam dan warna gelap. Pakai pula jaket labuh yang tutup paha. Insya-Allah tak nampak apa. Iz tak butangkan jaket masa berjalan. Tak nak nampak bentuk badan. 

Oh ya. Percaya tak pakaian Iz ni orang sangka Iz ni orang India (yang cantik)? Haha! Weh. Orang Malaysia, Indonesia, majoriti pakai kepala telekung pergi masjid Nabawi tapi Iz tak pakai kepala telekung. Tudung sarung hitam berdagu. Bila solat, cantumkan butang jaket dan solat seperti biasa. Asal menutup aurat sudah. 

Baiklah, seterusnya barang keperluan yang nampak berguna untuk dibawa bersama. Adakah berguna? Mari kita lihat!

Senarai barang yang Iz bawa masa umrah.

  1. Berus gigi dan ubat gigi 
  2. Sabun mandi mesra ihram (Mahal~)
  3. Syampu mesra ihram (Pun mahal~)
  4. Pencuci muka Cosmoderm
  5. Smelly No More (Ubat ketiak. Tak ada wangian)
  6. Losyen badan mesra ihram (Pun mahal juga~)
  7. Minyak angin roller 
  8. Getah rambut x 2 gelung
  9. Keronsang x 5 biji
  10. Jarum peniti x 2 pasang 
  11. Pengetip kuku (Ini bawalah. Kuku mudah kotor)
  12. Gunting kecil (Untuk bertahalul)
  13. Plastik sampah (Konon untuk rendam baju. Alih-alih jadi plastik sampah sungguh)
  14. Travel hanger x 12 unit (Ya. Kita akan membasuh pakaian. Beg bagasi kecil dan berat menjadikan Iz rajin)
  15. Sabun cuci baju (Beli yang serbuk dan kecil)
  16. Sikat
  17. Cekak (Iz cekak lover)
  18. Penyepit rambut (Iz ... lover. Gigih nau taip sebiji-sebiji)
  19. Portable steamer iron (Kalau pakaian kalian semuanya jenis ironless, yang ini tak perlu bawa)
  20. Bekas makanan kosong berpenutup x 2 unit (Sangat berguna untuk tapau. Tunjuk bekas dan isyarat bagus dekat petugas bahagian kita, dia kasi. Elok cakaplah tapi Iz suka beri isyarat tangan. Haha)
  21. Sudu dan garpu plastik (Baik rembat dekat dewan makan. Plastik juga)
  22. Travel Universal Adaptor x 2 (Walaupun plug hotel 3-pin, kena pakai juga. Tak function plug mereka bila direct)
  23. USB Adaptor Charger (Kepala charger telefon)
  24. Wayar USB Type Micro (Untuk cas powerbank. Powerbank lama. Tsk)
  25. Payung (Kata mereka, musim sejuk kerap hujan. Noh, tak hujan langsung)
  26. Beg tote (Saja bawa tak sangka berguna. Haha)
  27. Beg lipat kabin (Pun saja bawa tak sangka berguna. Haha!)
  28. Kerusi bulat lipat (Berguna tapi dah rosak di Madinah. Adik Iz buat. Memang beli guna niat, 'Sahaja aku beli kerusi bulat lipat ni untuk mak kerana Allah Taala.')
  29. Tongkat lipat (Sangat berguna untuk mak Iz)
  30. Kain lap cermin mata
  31. Paket sos cili (Banyak Iz bawa tapi guna dua paket je)
  32. Kicap lemak manis (Bubuh dalam botol kecil. Guna separuh saja. Boleh telan makanan tanpa kicap)
  33. Pelitup muka berhijab x 1 paket lagi
  34. Tisu poket x 2 unit
  35. Pantyliner (Bawa separuh pek asli)
  36. Pad (Bawalah sedikit. Iz yakin tak datang haid. Haha)
  37. Tisu basah (Langsung tak pakai)
  38. Kasut tawaf baldu (Langsung tak pakai)
Rasanya, barang-barang untuk beg kargo tiga senarai di atas. Semuanya Iz susun dalam beg penyimpanan 7 dalam 1. Beg kargo yang Iz dapat, satu saja zipnya. Sekali buka, nampak semua isinya. Menyusahkan ya juga. Haha.

Iz tak pakai skincare ke? Tak. Ingat Iz rajin? Tahap kerajinan Iz sekadar cuci muka dan sembur face mist. Tu saja kerajinan yang Iz ada. Tapi tak pernah lupa pakai pelembap bibir sepanjang berada di Madinah. Kalian salah orang ni.

Beg-beg mak Iz dan adik Iz, Iz yang tapis. Mak tak mak, adik tak adik, dengar cakap Iz. Haha. Iz yakin kami berempat sebilik. Jadi, mana-mana barang tak muat, sumbat beg sesiapa. Macam kisah adik Iz ni, dia sangat yakin dengan barang-barang yang dia bawa. Apa kalian ingat Iz percaya dengan tahap keyakinan adik Iz? Tak.

Iz buka beg dia. Semua. Adik Iz mengamuk. Dia mengamuk, Iz lagi mengamuk. Tahulah lelaki mudah hidup. Tapi jangan ambil mudah. Banyak pakaian adik Iz yang Iz campak ke tepi. Sungguh, adik Iz tak puas hati. Jahatnya Iz ni. Benda boleh bincang elok-elok. Kenapa nak campak-campak?

Kena campak dulu. Kosongkan beg. Satu per satu pakaian adik Iz, Iz pegang dan tanya. Perlu ke benda ni? Bapak cerewat Iz ni. Haha. Mak Iz tak boleh masuk campur dalam hal ini. Ini antara Iz dan adik Iz. Benda boleh gaduh, buat apa bincang baik-baik? Iz paksa adik Iz bawa stoking. Madinah sejuk. Tak. Dia tak nak. Dekat Madinah, dia yang berterima kasih dengan Iz sebab pesan bawa stoking. Dasar terumbu karang.

Untung adik Iz dapat kakak macam Iz. Siap susun pakaian dia. Belikan seluar baru untuk dia. Tapi dia tak nampak yang Iz baik. Dia nampak Iz ni sebagai pesaing dia. Ini terajang satu kali syok ni. Ya Allah, Iz. Nak pergi umrah ni, jaga hati dan emosi. Adik tu boleh belasah lepas balik umrah nanti. Sabar, sabar.

Berat beg kabin paling berat pun 4kg. Beg kargo pula 16kg. Itu pun dah padat isinya. Macam manalah nak capai 20kg ni. Hm.

Lepas dah susun-susun, mangakan beg dengan manga kecil. Buatlah suatu tanda untuk membezakan beg kita dengan beg-beg jemaah lain. Pak cik Iz cadang guna pelekat berwarna kontra dengan warna beg. Iz tambah dengan riben bertulis 'Happy Birthday'. Paling mudah dikesan beg kita orang.

Kalian jangan ingat Iz akan bawa beg galas isi yang tadi saja. Tak. Lepas dah dapat bilik hotel, Iz keluarkan barang-barang yang Iz nak guna dekat masjid nanti. Nanti Iz akan cerita selagi memori Iz masih tersisa. Ada sedikit kisah sebelum berangkat. Sedia?

Lagi dua minggu sebelum berangkat, keluarga Iz dikejutkan dengan satu berita. Nanah di tangan ayah Iz berubah menjadi kuman. Risiko untuk menjalar amat tinggi. Ayah Iz terpaksa ditahan wad di Hospital Selayang untuk pembedahan mikro. Lagi syahdu ayah Iz ada kencing manis. Memang bahaya.

Walaupun ayah Iz boleh keluar dua hari sebelum berangkat ke Tanah Suci, abang Iz kata kemungkinan ayah Iz kena pergi hospital lagi untuk rawatan lanjut dalam tempoh sebulan. Bila tanya mak Iz, mak Iz asyik kata ayah Iz akan sihat dan boleh pergi. Mak Iz sangat yakin.

Iz dah berbincang dengan abang Iz untuk menarik diri ayah Iz dari umrah. Dalam masa yang sama, Sabtu minggu tu ada kursus umrah dekat masjid sekitar rumah. Mak Iz nak tanya dulu mutawif tentang ayah Iz. Hari tu, hari Rabu. Mak Iz nak tanya depan-depan katanya. Iz sangat rasa berat hati. 

Berat hati sebab sedih ayah Iz tak dapat pergi umrah. Mungkin Allah tahu kemampuan Iz untuk jaga tiga anggota keluarga sangat mustahil. Adik Iz pun ada ekzema tak boleh kena debu. Mak Iz begini, ayah Iz pula begitu. Allah bagi tugas menjaga ayah Iz dekat abang Iz. Haha. Yalah. Lepas pembedahan, kena buat dressing setiap dua hari di klinik. Dekat Tanah Arab, kita tak pasti berapa ongkosnya. 

Esoknya, pulang dari melawat ayah Iz di Hospital Selayang, sepanjang perjalanan pulang, mak Iz suarakan yang dia akan bertemu empat mata dengan staf Agensi Polka. Nak tanya lebih lanjut katanya. Jujurlah, siapa yang mampu bertenang bila seorang ahli keluarga tak dapat pergi umrah. Bukan pergi Melaka. Mak Iz tak habis-habis sebut nama acik. Nanti acik gantikan tempat ayah Iz. Sebut tapi tak bertindak apa. Sekadar lafaz niat. 

Saat ni, Iz terpaksa melangkah ke depan tanpa tunggu mak Iz. Iz maklumkan terus kepada staf Agensi Polka. Beritahu hal yang sebenar. Kau orang tahu tak, Iz rasa macam anak derhaka saja bila buat macam ni tapi terpaksa. Tak semua perkara kita kena tunggu kata putus bila masa semakin suntuk. Staf Agensi Polka terus telefon Iz. Syukur Iz beritahu hari Khamis. Nama-nama jemaah, ibu pejabat belum serahkan kepada pihak penerbangan. Syukur!

Staf Agensi Polka minta butiran pengganti jemaah dalam kadar yang sangat tersangat paling segera hari itu juga. Mak Iz dah cemas. Langsung tak relaks. Risau, takut, cemas semuanya bersatu. Abang Iz cemas juga. Iz terus telefon ayah Iz guna telefon mak Iz beritahu yang tempat ayah Iz akan digantikan dengan acik. Ayah Iz sedih dah. Iz matikan panggilan dan terus telefon acik, adik mak Iz, minta passport itu ini. Passport acik luput. Dugaan.

Mak Iz cuba minta tempoh. Minta Iz kautim dengan staf tu untuk hantar esok. Hari Jumaat pejabat akan tutup pada 12.30 tengah hari. Staf kata okey. Alhamdulillah. Mula dari sini, Iz tolong acik siapkan segala dokumen sampai ke daftar Nusuk. Syukur acik tak terikat kerja dengan sesiapa. Bebas ke mana-mana. Tabik dekat acik mampu siapkan segala kelengkapan umrah kurang seminggu. 

Bayangkan kalau Iz ikut kata hati mak Iz untuk bertemu dua puluh biji mata dengan staf Agensi Polka. Mesti terbakar duit pakej umrah yang dah bayar atau dapat dikembalikan separuh saja. Rugi.

Iz sangat berkebolehan kerja bawah tekanan, selesaikan masalah yang mengarut, dengan syarat, tolong percayakan Iz. Keputusan Iz memang kejam tapi itu yang terbaik untuk semua orang. 

Itu saja untuk bahagian 3. Maaf macam emosi pula perkongsian ni. Iz sangat terusik bila uruskan masalah ini dan dalam masa yang sama, kawan-kawan Iz meronta-ronta nak ikut juga. Bukan sorang saja, ramai. Itu Iz palau. Tak kena masa dan tak jumpa kelakarnya. Maaflah Iz layan kalian begitu. Padan muka. Haha!

Siaran kali ni tiada gambar. Kenapa? Kerana ...

Siaran seterusnya banyak gambar yang bakal Iz kongsikan. Insya-Allah. Mana-mana benda yang karut lagi marut, ayat kesat lagi kasar, Iz minta maaf.

Kita jumpa di bahagian 4 nanti!

Bahagian 4: Duit riyal, roaming Internet, imbas passport, pemeriksaan kawalan keselamatan, isi air botol, imbas pas masuk, waktu subuh, makanan dan minuman


Tiada ulasan:

Catat Ulasan